PERSIDANGAN NEHAP MALAYSIA TAHUN 2017

Posted on (Edited: )

Putrajaya : Berlangsung untuk kali ke-3, Persidangan NEHAP Tahun 2017 telah dilaksanakan dengan jayanya pada 25 September 2017 bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.

Dengan mengambil tema Emerging Environmental Health Risks : Challenges for Tomorrow, persidangan kali ini telah dihadiri oleh 150 peserta yang telah mewakili 40 agensi dari seluruh Malaysia termasuk wakil daripada institut pengajian tinggi awam.

Nadi kepada persidangan ini tentunya disumbangkan oleh kertas-kertas pembentangan yang diberikan oleh pembentang dimulai dengan YM Engku Azman Tuan Mat, mantan Timbalan Pengarah Kanan Cawangan Regulatori, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan. Majlis kemudian diteruskan dengan pembentangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan disusuli dengan acara kemuncak iaitu pembentangan keynote address oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah.

Seterusnya, majlis disambung pada sebelah petang dengan pembentangan 8 kertas teknikal oleh wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan wakil tunggal daripada International University, Cambodia.

Ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah ingin diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah berusaha keras dan bertungkus lumus di dalam menjayakan Persidangan NEHAP pada tahun ini.

Besar harapan agar peserta persidangan ini dapat menggunakan peluang persidangan untuk bertukar-tukar buah fikiran dan membina platform yang lebih kukuh di antara ahli persidangan demi kemajuan kesihatan dan alam sekitar negara.